




7 Mei 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) melalui Unit Pusat Setempat (OSC) telah mengadakan sesi taklimat dan perkongsian pengalaman pelaksanaan OSC serta inisiatif inovasi E.10 bersama Ahli Jawatankuasa OSC Majlis Perbandaran Pontian yang terdiri daripada Ahli Majlis, Agensi Teknikal Dalaman dan Agensi Teknikal Luaran dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan pembangunan dan pelaburan.
Program bertajuk “Pengalaman dan Penanda Aras Pelaksanaan OSC sebagai Pemangkin Kecekapan dan E.10 sebagai Pemangkin Kepantasan Pembangunan Kulim” itu telah diadakan pada 7 Mei 2026 di Langkawi, Kedah dan dipengerusikan oleh Tuan Abdul Azim bin Haji Shamsuddin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian Johor. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Encik Riansyah Annai Minsai bin Abdullah, Penolong Pengarah OSC MPKK.
Sesi perkongsian tersebut memberi fokus kepada transformasi OSC MPKK sebagai pemangkin kecekapan proses kelulusan pembangunan melalui penggunaan sistem digital OSC 3.0 Plus Online, pelaksanaan mesyuarat secara atas talian, penyelarasan agensi teknikal serta pendekatan kolaboratif antara jabatan. Menurut pembentangan tersebut, penggunaan OSC 3.0 Plus Online berjaya mempercepatkan beberapa proses utama daripada 72 jam kepada hanya 24 jam.
MPKK turut berkongsi kejayaan pelaksanaan inisiatif inovasi E.10 – Express Construction Permit, yang diperkenalkan bagi mempercepatkan kelulusan permit pembinaan dan memudahkan urusan pelabur. Pendekatan ini berasaskan konsep fast track, effective interaction dan zero delay bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan tersusun.
Antara kejayaan utama yang diketengahkan ialah projek perintis Aspen Glove, apabila tempoh kelulusan pembangunan berjaya dipendekkan daripada 24 bulan kepada hanya 10 bulan melalui pelaksanaan E.10 pada tahun 2020 semasa pandemik COVID-19. Inisiatif tersebut turut membantu meningkatkan keyakinan pelabur, mempercepatkan pembangunan industri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Dalam sesi tersebut, MPKK turut berkongsi amalan terbaik dan lesson learned pelaksanaan OSC dan E.10, termasuk strategi “How to Make Staff Happy” dalam meningkatkan motivasi dan produktiviti warga kerja, kepentingan komitmen kepimpinan, perubahan mindset penjawat awam, integrasi agensi teknikal, komunikasi berkesan dengan pemain industri serta penggunaan data prestasi secara konsisten sebagai asas penambahbaikan berterusan.
Selain itu, kejayaan MPKK turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila menerima anugerah “Champion of Ease of Doing Business 2024” dan pengiktirafan Industrial Green Lane (IGL) 2025, serta Kepimpinan Terbaik 2025 oleh KPKT atas pelaksanaan inisiatif pemudah cara pelaburan dan pembangunan.
Program perkongsian tersebut diharap dapat menjadi platform kerjasama strategik dan penanda aras kepada pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus, mesra pelabur dan berdaya saing demi memacu pembangunan mampan negara.