1 BULAN 1 SUKAN : WARGA MPSPK CERGAS, BERSATU & BERPRESTASI

Semangat kesukanan terus diperkasa apabila Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) secara rasminya melancarkan program 1 Bulan 1 Sukan yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah.

Pelaksanaan program ini membuktikan komitmen berterusan pihak pengurusan MPSPK dalam melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan, malah sihat, aktif, berdaya tahan dan mempunyai keseimbangan antara kerjaya serta kehidupan harian.

Dalam ucapan beliau, Yang Dipertua MPSPK menzahirkan harapan agar program ini menjadi platform terbaik untuk seluruh warga kerja terus mengamalkan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal dan mental serta mengekalkan semangat positif dalam menjalankan tugas seharian.

Menurut beliau, warga kerja yang sihat akan melahirkan organisasi yang kuat, produktif dan lebih efisien dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Program ini juga diharap dapat mencungkil bakat-bakat terpendam dalam kalangan warga kerja MPSPK selain menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturrahim, semangat kerja berpasukan dan budaya saling menyokong antara satu sama lain tanpa mengira jabatan mahupun pangkat.

“Apabila warga kerja bersatu hati, saling memberi semangat dan bergerak sebagai satu pasukan, organisasi akan menjadi lebih kukuh dan harmoni,” antara hasrat yang dizahirkan oleh Yang Dipertua MPSPK.

Pelancaran 1 Bulan 1 Sukan turut menggambarkan pendekatan kepimpinan Yang Dipertua MPSPK yang amat prihatin terhadap kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan warga kerja. Keprihatinan beliau dalam menyantuni kakitangan jelas memperlihatkan bahawa MPSPK bukan sekadar sebuah organisasi pentadbiran, tetapi sebuah institusi yang menghargai nilai kekeluargaan, kebersamaan dan keseimbangan hidup.

MPSPK percaya bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui pembangunan bandar semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kekuatan dalaman pasukan yang menggerakkannya. Warga kerja yang sihat, ceria dan bermotivasi tinggi merupakan aset penting dalam memastikan agenda pembangunan bandar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan mampan.

Hadir bersama Tuan Setiausaha MPSPK, Encik Mohammad Hasbullah bin Abd. Hadi, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian MPSPK, para atlet yang terlibat bagi 17 jenis acara sukan serta warga kerja MPSPK yang menyertai Pertandingan Sepak Penalti anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan MPSPK (KESUKEM).

Semoga program 1 Bulan 1 Sukan ini terus menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang lebih positif, aktif dan progresif demi melahirkan warga MPSPK yang bukan sahaja cemerlang dalam tugas, malah unggul dari segi kesihatan, disiplin dan semangat berpasukan.

Klik untuk gambar sekitar program
Klik untuk video sekitar program

Skip to content