DATUK BANDAR ALOR SETAR ZAHIR PENGHARGAAN BUAT WARGA PENDIDIK SEMPENA HARI GURU 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 17 Mei 2026 – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya hari ini telah berkunjung ke dua buah sekolah di pusat bandar raya Alor Setar iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Keat Hwa S dan Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Sidiq bagi menzahirkan penghargaan dan sokongan penuh kepada warga pendidik bersempena dengan sambutan Hari Guru 2026.
 
Mewakili seluruh warga bandar raya, Datuk Bandar merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan secara tulus ikhlas kepada barisan Guru Besar dan guru-guru, khususnya di sekolah yang dilawati, serta kepada seluruh warga pendidik di dalam daerah Kota Setar dan Pokok Sena.
 
Dalam lawatan tersebut, beliau menekankan betapa besarnya peranan dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa yang bakal menjadi tunjang utama masa depan bandar raya ini.
 
“Sebagai Datuk Bandar, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru yang gigih membangunkan peribadi anak-anak. Golongan murid inilah yang akan mewarnai dan menjiwai Bandaraya Alor Setar pada suatu masa nanti,” jelas beliau semasa menyampaikan ucapan.
 
Hadir sama dalam dalam kunjungan tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar, Puan Niza Rosna; Ketua Whip Ahli Majlis MBAS, Tuan Haji Muhammad Riduan Othman; Ahli Majlis MBAS, Dato’ Ch’ng Boon Chye, pegawai-pegawai MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Beliau turut memuji komitmen para guru dalam menerapkan nilai-nilai sivik yang tinggi dalam kalangan pelajar, terutamanya dalam melahirkan warga bandaraya yang prihatin, bertanggungjawab, dan peka terhadap aspek kebersihan persekitaran.
 
Menurut Datuk Bandar, pendidikan yang dicurahkan oleh para guru di seluruh sekolah dalam kawasan pentadbirannya merupakan elemen penting bagi merealisasikan wawasan Alor Setar untuk menjadi sebuah bandaraya yang berdaya huni.
 
“Kami mengucapkan terima kasih yang amat-sangat kepada semua para guru dalam memastikan anak-anak bangsa kita menjadi peribadi yang mulia, peribadi yang bersama-sama menjaga Bandaraya Alor Setar khususnya dalam aspek kebersihan. InsyaAllah Alor Setar akan menjadi Bandar Raya yang berdaya huni. Terima kasih. Selamat Hari Guru 2026, ujarnya”
 
Pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Guru Besar SJKC Keat Hwa S, Puan Ang Khang Teng dan seluruh pihak SJKC Keat Hwa S, serta Guru Besar SK Wan Sulaiman Sidiq, Encik Zulkifli bin Hassan berserta seluruh warga SK Wan Sulaiman Sidiq atas kesudian menerima kunjungan tersebut.
 
 
Skip to content