OPERASI PERMIT KERUSI/MEJA (OPS KERUSI MEJA) DI TEMPAT AWAM | PENEMPATAN KERUSI DAN MEJA DI LUAR PREMIS ATAU TEMPAT AWAM WAJIB DAPATKAN PERMIT PBT

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 30 Mei 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah melaksanakan ‘Operasi Permit Kerusi/Meja’ (Ops Kerusi Meja) di sekitar bandar raya ini bagi memantau tahap pematuhan peraturan oleh para peniaga tempatan.
 
Operasi yang dijalankan selama 2 hari pada 29 hingga 30 Mei 2026 itu menumpukan kepada pemeriksaan menyeluruh terhadap permit dan penempatan kerusi dan meja di luar kawasan premis perniagaan bagi memastikan ketiadaan sebarang bentuk halangan ruang awam.
 
Dalam pelaksanaan operasi berkenaan, sebanyak 23 buah premis yang melibatkan premis kedai makan dan gerai penjaja di beberapa lokasi tumpuan telah diperiksa. Hasil pemeriksaan, 19 daripada premis berkenaan didapati beroperasi tanpa kelulusan permit meletak kerusi dan meja di luar premis serta gagal memperbaharui permit yang telah luput tarikh sahlaku.
 
Susulan itu, sebanyak 19 kompaun telah dikeluarkan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 10 (i) (d), Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah) 1983 atas kesalahan menyimpan atau meletakkan barang perniagaan di tempat awam.
 
Selain itu, sebanyak 18 notis di bawah Seksyen 46 (1) (d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) turut diserahkan kepada pemilik premis berikutan kesalahan mewujudkan halangan di laluan umum dengan menggunakan kerusi dan meja perniagaan.
 
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis/peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
 
Skip to content