MAJLIS PERASMIAN DAN PENYERAHAN JAMBATAN FT001/837/70 SUNGAI SALA, KOTA SETAR, KEDAH
Alor Setar, 7 Jun 2026 – Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya telah hadir ke Majlis Perasmian dan Penyerahan Jambatan FT001/837/70 Sungai Sala, Kota Setar, Kedah, pagi tadi.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, YB Dato’ Haji Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Malaysia, YBrs. Puan Ir. Hajah Atikah binti Zakaria @ Ya; Pengarah JKR Negeri Kedah, YBrs. Ir. Mohd Fisal bin Ismail serta Jurutera JKR Daerah Kota Setar, YBrs. Ir Isnil Badril bin Ismail.
Projek naiktaraf Jambatan Sungai Sala yang bernilai RM18.83 juta ini dilaksanakan bagi menggantikan struktur lama dengan jambatan baharu yang lebih selamat, kukuh dan berdaya tahan demi keselesaan pengguna jalan raya. Pembinaan jambatan baharu sepanjang 193 meter ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan pengguna, malah melancarkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan serta menyediakan laluan yang lebih selesa dan selamat untuk pejalan kaki.
