LAWATAN KERJA DELEGASI KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA (MOF) KE PUSAT TRANSFORMASI BANDAR (UTC) KEDAH

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 10 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menerima satu lawatan kerja rasmi daripada Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (BKSK), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di Bangunan UTC Kedah, pagi semalam.
 
Lawatan kerja tersebut telah diketuai oleh Setiausaha Bahagian BKSK, YBrs. Encik Ghazali bin Hizam serta delegasi. Tujuan utama lawatan ini dilaksanakan untuk meninjau tahap pengoperasian agensi-agensi penyedia perkhidmatan, di samping memantau kualiti dan keadaan semasa kemudahan prasarana yang disediakan untuk kemudahan orang awam di bangunan berkenaan.
 
Sehubungan itu, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan melibatkan delegasi MOF bersama pihak Pengurusan UTC Kedah serta wakil-wakil agensi Persekutuan. Fokus utama mesyuarat tertumpu kepada cadangan kerja-kerja naik taraf bumbung bangunan berikutan isu kebocoran yang berlaku di beberapa ruang agensi penyedia perkhidmatan. Selain itu, mesyuarat turut meneliti permohonan ruang tambahan bagi menempatkan Klinik Mentari di bawah seliaan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah.
 
Lawatan kerja ini menzahirkan komitmen berterusan pihak kementerian dan agensi berkaitan dalam memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa berada pada tahap yang terbaik, selain memastikan prasarana di UTC Kedah kekal kondusif, selamat, dan selesa untuk semua pengunjung.
 
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pengurus UTC Kedah, YBrs. PMgr. Sr. Zamzama Mohd; Pengarah Jabatan Kewangan MBAS, Pengarah Jabatan Kewangan MBAS, Ecik. Mohamad Najib Mohd Salleh; Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBAS, Encik Ahmad Sujairi Md. Hasan serta pegawai-pegawai terlibat.
 
 
Skip to content