MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI KEDAH 1448 HIJRAH
Alor Setar, 17 Jun 2026 – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya telah hadir ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 1448 Hijrah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, berkenan berangkat ke majlis tersebut. Tuanku Raja Muda Kedah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja dan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah serta Anugerah Masjid terbaik pada majlis tersebut.
Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kedah dianugerahkan kepada Dr Shukri bin Haji Abdullah. Manakala, Anugerah Masjid Terbaik Kategori Luar Bandar menjadi milik Masjid Al Fateh, Kuala Pegang, Baling dan Anugerah Masjid Terbaik Kategori Bandar pula Masjid Al Hana’, Kuah, Langkawi.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Dr. Paduka Sheikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Yang Amat Arif Dato’ Syeikh Haji Abd Rahman Haji Abdullah; Pengarah JHEAIK, Mohamad Subhi Abdullah.
