MBAS LAKSANA OPERASI PEMERIKSAAN KEBERSIHAN DAN LESEN
Alor Setar, 10 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Bahagian Inspektorat Kesihatan Persekitaran dan Bahagian Penguatkuasaan telah menjalankan satu Operasi Pemeriksaan Kebersihan dan Lesen di Tandop, Alor Setar, baru-baru ini.
Operasi tersebut melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas lima buah premis yang merangkumi sebuah rumah kediaman yang memelihara haiwan, tiga kiosk penjaja, serta sebuah premis establisymen makanan. Tindakan ini dijalankan bagi memantau dan memastikan para pemilik premis serta peniaga sentiasa mematuhi peraturan pelesenan dan mengekalkan tahap kebesihan yang ditetapkan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lima premis di sekitar lokasi berkenaan, pihak MBAS telah mengeluarkan enam (6) kompaun atas pelbagai kesalahan iaitu 4 kompaun bagi kesalahan tiada lesen MBAS, 1 kompaun atas kesalahan tiada kad suntikan tifoid serta 1 kompaun atas kesalahan melepaskan sisa buangan ke dalam longkang. Selain itu, 1 notis turut dikeluarkan atas kesalahan membiarkan kekotoran di rumah persendirian.
Pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
