MENELADANI HIJRAH RASULULLAH SAW, MENYEMAI INTEGRITI, MENJULANG PRESTASI
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah menganjurkan Sambutan Maal Hijrah Peringkat MPSPK Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Kenangan Sultan Abdul Hamid, MPSPK dengan penuh penghayatan dan semangat kebersamaan warga kerja..
Program yang menghimpunkan seluruh warga MPSPK ini menjadi wadah memperkukuh nilai-nilai murni, meningkatkan kesedaran rohani serta menyemarakkan semangat hijrah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada organisasi serta masyarakat. Sambutan dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Fawwaz Hamdi bin Mohd Imran, diikuti persembahan nasyid yang menyentuh jiwa daripada Kumpulan Zayyan.
Kemuncak program adalah Ceramah Perdana Maal Hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Haji Abdullah Khairi bin Haji Haroon bertajuk “Hijrah Minda, Transformasi Kerja: Membina MPSPK Berintegriti”. Pengisian tersebut menyeru warga MPSPK agar menjadikan peristiwa hijrah sebagai inspirasi untuk melakukan perubahan positif, memperkukuh integriti, meningkatkan produktiviti serta membudayakan kecemerlangan dalam setiap aspek perkhidmatan.Turut hadir Yang Dipertua MPSPK YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, Setiausaha MPSPK, Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki, barisan Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian serta seluruh warga kerja MPSPK.
Sambutan Maal Hijrah diserikan dengan penyampaian anugerah khas sebagai penghargaan kepada kakitangan MPSPK yang telah menunjukkan contoh teladan dalam organisasi menerusi kategori-kategori berikut:
🌟 Anugerah Tokoh Harapan MPSPK – Encik Roslin bin Bakar
🌟 Anugerah Tokoh Integriti & Amanah – Puan Mazani binti Kassim
🌟 Anugerah Penggerak Dakwah – Encik Mohammad Sofe bin Yahaya
🌟 Anugerah Belia Hijrah – Encik Saifulnizam bin Mahmud
🌟 Anugerah Uswatun Hasanah – Encik Mohamad Azuad bin Ariffin
Selain itu juga, sambutan Maal Hijrah turut dimeriahkan dengan pertandingan memasak Bubur Asyura yang sinonim dengan sambutan Awal Muharam. Kepelbagaian ramuan seperti beras, kacang, ubi, jagung dan rempah ratus, setiap ramuan dalam periuk itu mewakili kepelbagaian warga sebuah komuniti yang bersatu hati. Walaupun rasa yang berbeza dari rumah ke rumah, namun keindahan yang sebenar adalah, satu masakan menyemai seribu rasa kasih sayang. Melalui pertandingan ini MPSPK bukan sahaja menghidupkan semula sunnah yang indah ini, malah menjadikannya ruang untuk warga berhimpun, berbagi dan mengeratkan ikatan sesama umat kerana itulah hakikat hijrah yang sebenar, bukan sekadar berpindah tempat, tetapi berpindah hati ke arah yang lebih dekat dengan Allah dan lebih ihsan terhadap sesama manusia.
Sekalung tahniah diucapkan kepada para pemenang 👏🏻👏🏻 pertandingan memasak bubur Asyura iaitu:
1️⃣ Jabatan Kesihatan
2️⃣ Jabatan Penguatkuasaan
3️⃣ Jabatan Penilaian
Semoga sambutan Maal Hijrah kali ini menjadi titik permulaan kepada penghijrahan yang lebih bermakna dalam membentuk warga kerja yang berilmu, berakhlak, berintegriti dan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menjayakan sambutan Maal Hijrah 1448 H/ 2026.
Klik untuk gambar sekitar program. Bahagian 1Klik untuk gambar sekitar program. Bahagian 2
Klik untuk video sekitar program.

















