




PUTRAJAYA, 29 Jun 2026 – Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 telah berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Majlis ini diadakan sebagai platform pengiktirafan kepada kementerian, jabatan dan agensi yang berjaya melaksanakan inisiatif reformasi bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menerima dua anugerah dalam majlis tersebut, sekali gus membuktikan komitmen MPKK dalam memperkasa budaya reformasi, mengurangkan kerenah birokrasi dan menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Dua pengiktirafan yang diterima adalah inisiatif Mempercepat Masa Proses Permohonan Lesen Tidak Berisiko daripada 60 minit kepada 15 minit, termasuk Pembaharuan Lesen Secara Atas Talian, yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran di bawah pimpinan Encik Ahmad Shakir bin Arus, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran; serta Anugerah Khas RKB Permit Pembinaan Ekspres (E10) oleh Kumpulan Smart Forward MPKK, yang dilaksanakan Jabatan Perancangan dan Landskap di bawah pimpinan TPr. Mohammad Fadhlan bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK tampil menerima penghargaan dan pengiktirafan ini. Pengiktirafan ini menjadi simbol komitmen berterusan MPKK dalam melaksanakan reformasi penyampaian perkhidmatan, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kemudahan kepada rakyat.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerja MPKK untuk terus membudayakan reformasi, memacu produktiviti dan memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan masyarakat.