BINGKISAN ISTIMEWA PENUH MAKNA BUAT TUANKU SULTAN KEDAH

Bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-84, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sekali lagi menzahirkan semangat setia dan kasih kepada institusi Diraja Kedah melalui persembahan kek hasil kreativiti warga kerja MPSPK.

Pada tahun ini, kek istimewa yang dibuat oleh Puan Qatrunnada Munirah Binti Ineles, kakitangan MPSPK mengetengahkan tema jam besar sebagai simbolik perjalanan masa, kesinambungan pemerintahan serta doa agar pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam rahmat, kemuliaan dan kegemilangan. Hiasan bernuansa emas pula menyerlahkan keagungan institusi Kesultanan Melayu Kedah serta kemeriahan sambutan penuh beradat ini.

Usaha ini turut mencerminkan sokongan Yang Dipertua MPSPK terhadap bakat dan kebolehan warga kerja untuk terus berkarya, berinovasi serta mengharumkan nama MPSPK.

Seluruh warga kerja MPSPK dengan penuh takzim merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua sentiasa berada dalam limpah kurnia Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dilanjutkan usia serta terus bersemayam di atas singgahsana pemerintahan Negeri Kedah Darul Aman dengan penuh daulat, kebesaran dan kemuliaan.

Daulat Tuanku. Ampun Tuanku.

Klik untuk gambar sekitar program.

Skip to content