BANK RAKYAT ANJUR KEMPEN KIBAR BENDERA KEDAH SEMPENA HARI KEPUTERAAN SULTAN KEDAH KE-84
Alor Setar, 1 Julai 2026 – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) Cawangan Alor Setar telah menganjurkan Kempen Kibar Bendera Negeri Kedah sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di pekarangan pejabat Bank Rakyat Cawangan Alor Setar, Jalan Langgar, di sini, pagi semalam.
Program tersebut bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negeri Kedah dalam kalangan masyarakat, di samping menggalakkan orang ramai mengibarkan bendera negeri sebagai tanda penghormatan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah pada 5 Julai 2026.
Dalam program itu, lebih 100 unit bendera Negeri Kedah bersama pek makanan telah diedarkan kepada orang awam yang melalui kawasan berkenaan. Pengagihan tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya bersama Pengurus Bank Rakyat Cawangan Alor Setar, Tun Asrul Saini Wan Agil @ Ton Aziz, Penolong Pengurus Rakyat Xcess Simpang Kuala, Encik Khidzrul Nizam Mohd Khidir serta Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai daripada Bank Rakyat dan MBAS yang bersama-sama menjayakan kempen tersebut sebagai usaha menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
