KERJA-KERJA PEMBERSIHAN SUMP (TAKUNGAN) TERUSAN TANDOP
Alor Setar, 25 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Unit Terusan, Bahagian Perkhidmatan Bandar bersama Unit Gerak Cepat, Jabatan Kesihatan Persekitaran telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan sump (takungan) terusan yang terletak berdekatan dengan tapak penjaja Tandop, hari ini.
Kerja-kerja pembersihan dijalankan apabila mendapati sump terusan tersebut telah dipenuhi dengan sampah sarap dan sisa buangan yang telah menyekat kelancaran aliran air dan menjejaskan kualiti persekitaran di kawasan tersebut. Pihak MBAS telah mengambil tindakan segera dengan mengangkut keluar sisa buangan tersebut bagi mengembalikan fungsi sistem saliran terusan tersebut.
Sehubungan itu, pihak MBAS ingin menyeru orang ramai agar tidak membuang sampah ke dalam saliran, parit, atau terusan. Sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap ke dalam sistem perparitan merupakan antara punca utama berlakunya banjir kilat, pembawakan penyakit dan pencemaran bau yang menjejaskan keselesaan penduduk.
Kerjasama semua warga bandar raya amatlah diharapkan untuk melupuskan sampah di tong yang disediakan demi memelihara kebersihan dan kesejahteraan bandar raya Alor Setar secara bersama.
