MBAS LAKSANA OPS BUAH BERMUSIM, 12 PENIAGA DIPERIKSA
Alor Setar, 2 Julai 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Bahagian Penguatkuasaan telah melaksanakan Ops Buah Bermusim bagi memeriksa penjaja yang menjalankan aktiviti penjualan buah-buahan bermusim di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.
Operasi itu melibatkan pemeriksaan di Jalan Alor Mengkudu–Jalan Datuk Kumbar serta sepanjang Lebuhraya Sultanah Bahiyah menuju ke Kuala Sungai bagi memastikan penjaja mematuhi syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan.
Sebanyak 12 peniaga telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan melibatkan pelanggaran syarat pelesenan dan penggunaan kawasan awam tanpa kebenaran.
Di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Gerai dan Penjaja MBAS 2010, dua notis telah dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen mengikut Seksyen 3(1), manakala satu notis lagi dikeluarkan di bawah Seksyen 22(1)(d) kerana menjalankan perniagaan di kawasan awam tanpa kebenaran.
Selain itu, di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 1983, dua notis telah dikeluarkan mengikut Peraturan 10(1)(a) terhadap penjaja yang mendirikan khemah kekal tanpa permit. Turut dikeluarkan ialah satu kompaun di bawah Seksyen 3(1) atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
