MBAS PERSEMBAH KEK BERTEMAKAN URBAN FOREST 2 KEPADA TUANKU SULTAN KEDAH SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-84
Alor Setar, 4 Julai 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mempersembahkan sebiji kek istimewa bertemakan Urban Forest 2, Istana Sepachendera kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-84 dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Anak Bukit, hari ini.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya bersama Timbalan Setiausaha MBAS, Encik Azlizam Jaafar Sidik telah hadir bagi pihak MBAS mempersembahkan kek tersebut sebagai tanda menjunjung kasih dan penghormatan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sempena ulang tahun keputeraan Baginda.
Rekaan kek yang mengetengahkan tema Urban Forest 2, Istana Sepachendera melambangkan aspirasi pembangunan bandar raya yang mengutamakan keseimbangan antara pembangunan moden, kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan warisan, selaras dengan usaha MBAS dalam memperkukuh identiti bandaraya Alor Setar sebagai sebuah bandar raya yang mampan.
