OPERASI BERSEPADU PREMIS WARGA ASING DI SHAHAB PERDANA, ALOR SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 28 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerusi Bahagian Inspektorat, Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguat Kuasa dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Jabatan Imigresen Malaysia telah melaksanakan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing (Rohingya) di kawasan Shahab Perdana, pagi semalam.
 
Operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pelesenan, kebersihan premis, keselamatan makanan serta undang-undang berkaitan yang dikuatkuasakan oleh agensi terlibat.
 
Hasil operasi yang dijalankan, MBAS telah mengeluarkan beberapa kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, tiada kad suntikan tifoid serta kegagalan menyelenggara premis dengan baik di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Premis Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBAS) 2010. Tindakan turut diambil terhadap peniaga yang meletakkan barang niaga di siar kaki tanpa permit mengikut Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (PBTNK) 1983.
 
Dalam operasi sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar turut menjalankan pemeriksaan terhadap pelabelan makanan susulan aduan berkaitan penjualan produk makanan import yang disyaki tidak mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
 
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai ketidakpatuhan berkaitan pelabelan makanan, sekali gus membawa kepada pengeluaran tiga notis atas kesalahan berkenaan. Sebanyak 21 jenis produk makanan import turut dirampas dengan nilai keseluruhan RM2,556.
 
Antara kesalahan yang dikesan ialah penggunaan label yang tidak mengikut bahasa yang ditetapkan, kegagalan memaparkan nama dan alamat ejen atau pengimport serta ketiadaan atau ketidaktepatan nama sebenar sesuatu produk makanan.
 
 
 
Skip to content