UPACARA PENUKARAN BENDERA NEGERI KEDAH DARUL AMAN | SELURUH WARGA KEDAH DISERU KIBAR BENDERA NEGERI KEDAH SEMPENA HARI KEPUTERAAN SULTAN KEDAH KE-84
Alor Setar, 1 Julai 2026 – Seluruh warga negeri Kedah tanpa mengira latar belakang dan kedudukan diseru untuk mengibarkan bendera negeri di kediaman serta premis masing-masing sebagai tanda penghormatan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah yang ke-84 pada 5 Julai 2026 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Yang Berhormat Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, inisiatif tersebut merupakan satu tanggungjawab bagi menterjemahkan rasa sanjungan dan kasih rakyat terhadap institusi diraja.
“Kita menyeru kepada semua warga negeri Kedah, sama ada peniaga atau orang awam, supaya wajib mengibarkan bendera Kedah. Ini adalah sebahagian daripada cara kita menunjukkan sikap dan penghormatan bahawa hari tersebut merupakan hari yang cukup gilang-gemilang; hari keputeraan Tuanku yang kita sanjungi dan hormati,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Upacara Penukaran Bendera Negeri Kedah Darul Aman di Dataran Medan Bandar, di sini, pagi tadi. Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
Dalam pada itu, YB Mejar Mansor memberikan penekanan khusus kepada premis-premis perniagaan di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar tidak mengambil mudah arahan pemasangan bendera tersebut.
Tegas beliau, semua Datuk Bandar/Yang Dipertua (YDP) PBT diarahkan untuk membuat semakan di kawasan pentadbiran masing-masing dan mengeluarkan teguran kepada mana-mana pemilik premis yang gagal mematuhi arahan berkenaan.
“Pemasangan bendera ini secara tidak langsung menunjukkan kepada rakyat dari negeri dan negara luar bahawa kita amat menjaga dan menghargai hari yang cukup bermakna ini,” jelasnya.
Menyentuh mengenai Upacara Penukaran Bendera yang diadakan, beliau berkata ia adalah acara protokol yang dilaksanakan empat kali setahun atau apabila bendera didapati lusuh, bagi memastikan panji-panji negeri itu sentiasa berada dalam keadaan sempurna dan megah berkibar, sekali gus menjadi tarikan pelancong.
Jelasnya lagi, penglibatan pelajar sekolah dalam upacara tersebut juga bertujuan memberi pendedahan awal kepada generasi muda tentang kepentingan menjaga dan mempertahankan kehormatan bendera negeri.
Sementara itu, menjelang hari sambutan berkenaan, YB Mejar Mansor turut mengingatkan rakyat untuk bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran, khususnya di sekitar bandar raya Alor Setar.
“Memandangkan bandar ini akan menjadi tumpuan pelancong dan Tuanku Sultan akan mencemar duli di sekitar bandar, kita perlu mempamerkan sikap prihatin dengan tidak membuang sampah merata-rata dan memastikan tahap kebersihan berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Upacara Penukaran Bendera Negeri Kedah sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Dataran Medan Bandar pagi tadi telah dilaksanakan oleh pasukan kawad bendera yang terdiri daripada 2 orang pegawai dan 6 orang anggota Penguatkuasa MBAS. Upacara itu turut diserikan dengan iringan persembahan oleh pasukan pancaragam dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa sepanjang upacara berlangsung. Kehadiran pegawai-pegawai kerajaan dari pelbagai agensi serta pelajar-pelajar sekolah dari sekitar bandar raya Alor Setar juga turut menyemarakkan suasana dan menunjukkan semangat patriotisme dari setiap lapisan masyarakat di negeri Kedah.
