15 Julai 2026 hingga 16 Julai 2026, Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) dengan kerjasama URBANICE Malaysia telah melaksanakan Sesi Focus Group Discussion (FGD) Siri Kedua bagi penyediaan SDG Roadmap dan Voluntary Local Review (VLR) MDBB.
Sesi ini telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Puan Noor Shaadah Binti Ahmad, AMK., BCK., Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu.; Yang Berusaha Tuan Setiausaha Majlis Daerah Bandar Baharu iaitu Encik Muhamad Amin Bin Jaafar; Yang Berusaha Encik Noordin Bin Mat Darit, Wakil Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua -Ketua Jabatan Negeri dan Daerah serta URBANICE Malaysia yang diwakili oleh Encik Mohd Syafiq Bin Subri, Ketua Projek Malaysia SDG Cities.
Pelaksanaan FGD ini memberi tumpuan kepada pengesahan dapatan, pemetaan cabaran pembangunan serta penentuan keutamaan tindakan di peringkat tempatan. Hasil perbincangan telah mengenal pasti sebanyak 14 jurang pembangunan, dengan tujuh daripadanya ditetapkan sebagai keutamaan utama. Jurang-jurang tersebut merangkumi ketiadaan hospital, isu pembuangan sampah haram, penyediaan rumah mampu milik, peratusan air tidak terhasil ditahap yang kritikal, kepelbagaian ekonomi yang terhad serta kadar kitar semula yang masih rendah.
Dalam masa yang sama, Bandar Baharu mempunyai kekuatan tersendiri sebagai daerah yang bersempadanan Negeri Perak dan Pulau Pinang dengan aset semula jadi, kepelbagaian kawasan pertanian seperti durian duri hitam dan perikanan seperti udang galah dan ikan baung, komuniti tempatan serta potensi eko-pelancongan yang kukuh. Aset-aset ini penting untuk diterjemahkan sebagai pemacu pembangunan mampan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berasaskan identiti setempat.
Penyediaan SDG Roadmap dan VLR MDBB ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penyetempatan SDG di peringkat PBT bagi memastikan perancangan pembangunan Daerah Bandar Baharu dapat disusun secara lebih berfokus, berasaskan data dan selari dengan keperluan komuniti setempat.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kelancaran sesi libat urus ini.






















