KELUARGA DIRAJA KEDAH DAN PAHANG MENGADAKAN KUNJUNGAN DI KOMPLEKS PELANCONGAN SUNGAI MERBOK

Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff hari ini telah berangkat ke Program Kunjungan Muhibbah Diraja di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok, Jeti Semeling di sini, hari ini.

Keluarga Diraja juga dibawa melawat ke laluan siar kaki, Galeri Geopark Jerai, Galeri Biodiversiti Sungai Merbok, Galeri Kedah Tua, menandatangani plak lawatan dan diakhiri dengan taklimat ringkas mengenai sejarah Kedah di Auditorium Kompleks Pelancongan Sungai Merbok serta santapan tengahari sebelum keberangkatan pulang Keluarga Diraja.

Berangkat hadir sama Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah Tengku Sarafudin Badlishah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah. Hadir sama Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah; Pegawai Daerah Kuala Muda, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad dan Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar.

Menurut Tunku Iskandar, Tuanku berdua telah beberapa kali melawat Kompleks Pelancongan Sungai Merbok ini tetapi kali ini Tuanku berdua turut menjemput Pemangku Sultan Pahang serta anakanda Tuanku bersama-sama menyusuri Sungai Merbok.

‎”Program penanaman pokok bakau juga bertepatan dengan usaha Kerajaan dalam menanam 2.2 juta pokok menjelang 2030 demi pemuliharaan alam sekitar.

“Hari ini kita dapat menanam 450 pokok bakau yang turut dijayakan oleh Pemangku Sultan Pahang bersama-sama Keluarga Diraja Kedah dan selepas ini mungkin akan diadakan pula aktiviti kayak menyusuri Sungai Merbok,” katanya.

Sumber : Warta Kedah


Skip to content