BERSIH, INDAH DAN CERIA : BALAI POLIS LAMA SUNGAI PETANI BERWAJAH BARU

Dalam usaha memperkukuhkan imej Bandar Sungai Petani sebagai sebuah bandar yang Bersih, Indah dan Ceria, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah melaksanakan Program Citra Warisan : MPSPK Bersama PDRM dengan mengecat semula Bangunan Balai Polis Lama Sungai Petani yang terletak di Jalan Ibrahim.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MPSPK untuk memperindah kawasan bandar, di samping memelihara bangunan warisan yang mempunyai nilai sejarah tinggi kepada masyarakat. Dibina pada tahun 1916, bangunan berusia lebih satu abad ini merupakan antara mercu tanda bersejarah yang menjadi saksi kepada perkembangan awal Bandar Sungai Petani. ‎

Hadir menyempurnakan program tersebut ialah Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Polis, Tuan Hanyan bin Ramlan, Tuan Setiausaha MPSPK, Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian MPSPK, Pegawai-Pegawai Kanan serta Anggota-Anggota Polis Diraja Malaysia dan warga kerja MPSPK.

Kerja-kerja menceriakan bangunan ini bukan sahaja bertujuan memastikan keadaan fizikalnya sentiasa terpelihara, malah sebagai langkah memperkasakan nilai estetika kawasan sekitar agar lebih menarik, kemas dan mesra pengunjung. Keunikan seni bina klasik serta nilai sejarah yang dimiliki menjadikan bangunan ini berpotensi untuk diketengahkan sebagai lokasi tarikan pelancongan bandar dan spot fotografi warisan (heritage photo spot) yang mampu menarik minat pengunjung, pencinta sejarah serta pelancong yang berkunjung ke Sungai Petani.

Dengan suasana baharu yang lebih segar dan ceria, Bangunan Balai Polis Lama dijangka menjadi antara lokasi pilihan orang ramai untuk merakam kenangan, sekali gus menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Jalan Ibrahim sebagai nadi warisan bandar. Usaha ini selaras dengan hasrat MPSPK untuk menjadikan Sungai Petani sebuah bandar yang bukan sahaja maju dan dinamik, malah menghargai sejarah serta identiti tempatan yang menjadi kebanggaan masyarakat. MPSPK percaya pemeliharaan bangunan warisan yang disertai elemen keceriaan bandar mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan setempat, selain memupuk rasa cinta terhadap sejarah dan warisan dalam kalangan generasi masa kini dan akan datang.

‎Bersih, Indah dan Ceria bukan sekadar slogan, tetapi komitmen berterusan MPSPK dalam memperindah bandar serta mengangkat warisan tempatan sebagai aset yang bernilai untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat.

Klik untuk gambar sekitar program.
Klik untuk video sekitar program.

Skip to content