

Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah berjaya melaksanakan sesi Pengauditan Pengekalan Pensijilan SIRIM selama tiga hari bermula 20 Julai 2026 (Isnin) hingga 22 Julai 2026 (Rabu) melibatkan dua sistem pengurusan utama organisasi iaitu MS ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan MS ISO 37001:2025 (Sistem Pengurusan Antirasuah).
Pengauditan yang dilaksanakan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. ini diketuai oleh Ts. Norlizawati binti Yusof bersama barisan auditor iaitu Encik Mohs Shahril bin Mohd Arshad, Puan Nur Ruzaini binti Ab Razak dan Puan Nur Ainaa binti Saadon.
Sepanjang tempoh pengauditan berlangsung, pelbagai semakan, penilaian dan verifikasi telah dilaksanakan bagi memastikan proses kerja, dokumentasi serta penyampaian perkhidmatan MPKK sentiasa mematuhi keperluan piawaian yang ditetapkan. Pengauditan ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan budaya kualiti, integriti dan tadbir urus yang baik dalam organisasi.
Sesi penutup pengauditan telah disempurnakan oleh Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK, yang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga kerja MPKK atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang proses pengauditan. Beliau turut menegaskan agar setiap penemuan audit diberi perhatian sewajarnya melalui tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara berterusan.
MPKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan auditor SIRIM QAS International Sdn. Bhd. atas komitmen, profesionalisme dan pandangan penambahbaikan yang diberikan sepanjang pelaksanaan audit ini.
Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada seluruh warga kerja MPKK yang telah menunjukkan semangat kerja berpasukan serta komitmen tinggi dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan serta mengekalkan tahap integriti organisasi.