


26 Julai 2026 – Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 7/2026 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama MPKK dan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK.
Dalam ucapan aluan, Dato’ Yang Dipertua merakamkan ucapan tahniah kepada penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-84.
Tahniah turut diucapkan kepada warga MPKK atas penerimaan Anugerah Khas Ketua Setiausaha Negara menerusi projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) serta kejayaan penganjuran Karnival FIFA Final World Cup 2026. Penghargaan dirakamkan kepada seluruh penduduk Kulim yang hadir memeriahkan program, menjaga kebersihan dan menunjukkan tatakelakuan yang baik sepanjang karnival berlangsung.
Dato’ Yang Dipertua turut mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kepala air di Sedim serta memaklumkan bahawa langkah-langkah keselamatan di kawasan berisiko akan terus diperkemas bersama agensi-agensi berkaitan.
Seterusnya, mesyuarat dimulakan dengan Taklimat Berkenaan Isu Pendatang Asing oleh Puan Rahieda binti Rejab, Timbalan Bahagian Penguasa, Jabatan Imigresen Negeri Kedah. Turut berlangsung ialah majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis MPKK oleh YDH Supt. Syamsul bin Sinring, Ketua Polis Daerah Kulim.
Mesyuarat diteruskan dengan pengesahan minit serta pembentangan laporan dan kertas kerja berkaitan pentadbiran, kewangan, kemudahan awam, perancangan pembangunan dan pengurusan aduan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan MPKK kepada masyarakat.
Semoga segala keputusan dan ketetapan yang dicapai dapat memperkukuh tadbir urus, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memberi manfaat kepada seluruh warga Kulim.