



Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah menghadiri Konvensyen ILTIZAM Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Konvensyen yang bertemakan ILTIZAM: Memacu Kecekapan, Akauntabiliti dan Reformasi Perkhidmatan Awam telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Penganjuran konvensyen ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan terhadap nilai kecekapan, akauntabiliti, reformasi dalam kalangan penjawat awam. Ketiga-tiga elemen tersebut merupakan asas kepada pembentukan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, responsif dan berupaya memenuhi harapan rakyat.
Dalam ucaptama beliau, Ketua Setiausaha Negara turut menekankan kepentingan mengurangkan kerenah birokrasi, mempermudah urusan rakyat dan komuniti perniagaan serta memastikan setiap proses penyampaian perkhidmatan kerajaan dilaksanakan dengan lebih pantas, cekap dan berintegriti.
Turut disentuh dalam ucaptama tersebut ialah pencapaian pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi di Wilayah Utara, termasuk inisiatif Permit Pembinaan Ekspress (E10) oleh MPKK yang menerima Anugerah Khas RKB.
Konvensyen berkenaan turut diserikan dengan Pelancaran Kampus UUM Lestari, selaras dengan usaha memperkukuh budaya kelestarian dan kecemerlangan institusi.
Penyertaan MPKK yang dihadiri oleh YBhg. Dato’ Yang Dipertua, Puan Setiausaha serta Pengarah Jabatan dan pegawai terlibat mencerminkan komitmen berterusan MPKK dalam mendukung agenda reformasi perkhidmatan awam, mempertingkat kecekapan penyampaian serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.