RM500,000 UNTUK SUNGAI PETANI : MPSPK PERHEBAT INISIATIF BANDAR SELAMAT 2.0
Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) telah terpilih untuk menyertai Program Bandar Selamat 2.0 bagi tahun 2026 dan menerima peruntukan pembangunan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkaitan keselamatan bandar, peningkatan kualiti persekitaran serta mewujudkan kawasan perbandaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif kepada masyarakat.
Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Pembangunan Program Bandar Selamat 2.0 kepada MPSPK telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), YBhg. Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli yang hadir bersama pegawai-pegawai PLANMalaysia. Cek Cura tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah dan turut diiringi oleh Setiausaha MPSPK, Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki.
Program Bandar Selamat 2.0 merupakan satu inisiatif dalam memperkukuhkan perancangan bandar melalui pendekatan yang lebih strategik, khususnya dalam aspek keselamatan, penyediaan kemudahan awam serta peningkatan kualiti persekitaran bandar yang memberi manfaat kepada komuniti.
Selesai sesi penyerahan, YBhg. Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli bersama rombongan turut meluangkan masa melawat reruai pameran bagi meninjau paparan berkaitan perancangan dan pelaksanaan inisiatif Program Bandar Selamat yang telah dilaksanakan bermula tahun 2011 dalam kawasan Sungai Petani, Daerah Kuala Muda.
MPSPK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan dalam memperkasakan agenda bandar selamat, mampan dan berdaya huni selaras dengan aspirasi menjadikan Sungai Petani sebagai sebuah perbandaran yang dinamik dan mesra komuniti.
MPSPK percaya dengan penerimaan siling peruntukan pembangunan ini, pelbagai inisiatif penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berkesan dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan bandar, memperindah persekitaran serta menyediakan kemudahan awam yang lebih berkualiti demi kesejahteraan warga Sungai Petani.
Klik untuk gambar sekitar program.Klik untuk video sekitar program.










