



11 Ogos 2026 – Program Perhimpunan Bulanan Anggota Bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) pagi ini berlangsung dengan penuh semangat, bukan sahaja bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan, malah turut dimeriahkan dengan pengisian sempena Jubli Perak 25 Tahun MPKK.
Dalam amanatnya, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK mengajak seluruh warga kerja untuk terus menghayati erti sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang diperoleh dengan mudah, sebaliknya lahir daripada pengorbanan, keringat dan perjuangan generasi terdahulu. Justeru, jasa para pejuang dan perajurit negara perlu sentiasa dikenang dan dihargai.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan merupakan kekuatan utama negara. Kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia perlu terus diraikan sebagai satu kekuatan yang membawa negara bergerak maju. Dalam konteks pembangunan Kulim pula, peluang yang hadir hasil perkembangan dan pelaburan yang pesat perlu dimanfaatkan sebaiknya, khususnya oleh generasi muda, agar mereka turut menjadi sebahagian daripada kemajuan daerah ini.
Bagi warga MPKK, YBhg. Dato’ turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama yang diberikan selama ini. Menurut beliau, kejayaan sesebuah organisasi tidak mungkin dicapai melalui usaha seorang individu sahaja. Kepimpinan, tatakelola yang baik, kolaborasi, disiplin masa serta warga kerja yang perlu bersikap versatil merupakan antara elemen penting dalam memastikan momentum kecemerlangan MPKK terus dipertahankan.
Antara acara istimewa pada perhimpunan kali ini ialah Pelancaran Arca Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MPKK serta pengumuman pemenang Pertandingan Reka Bentuk Arca Jubli Perak MPKK.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang:
Johan – “KANOPI KULIM”
Arkitek Interior Designer Muhammad Qhawarizmi bin Norhisham
Qhawarizmi Arkitek
Hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan
Naib Johan- “GATEWAY OF POSSIBILITIES”
Arkitek Interior Designer Profesional Teknologis Haris Fadzilah bin Abdul Rahman
Arkitek Hafadz
Hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penyertaan
Tempat Ketiga – “TERAS KULIM”
Arkitek Tan Chiew Hoon
BYG Arkitek Sdn. Bhd.
Hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan
Dato’ Yang Dipertua merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta, pemenang, barisan juri serta urus setia yang telah menjayakan pertandingan ini. Kreativiti dan idea yang diketengahkan menjadi sebahagian daripada catatan istimewa perjalanan 25 tahun MPKK.
Perhimpunan turut diserikan dengan sesi penghargaan kepada warga MPKK yang bakal menamatkan perkhidmatan dan bersara serta pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi MPKK sebagai simbol menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
25 tahun satu perjalanan, kemerdekaan satu amanah!