




Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) merakamkan penghargaan atas jemputan kepada Dato’ Haji Elmi bin Yusoff sebagai penceramah bagi Seminar Professional Ethics For Future Leader yang bertemakan “Integrity Today, Leadership Tomorrow”, bertempat di Dewan Kuliah 1, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).
Dato’ Haji Elmi bin Yusoff yang juga merupakan alumni POLIMAS hadir bersama Datin Azlina Binti Md Zuki bagi berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan bersama para pelajar Semester 5 Diploma Perakaunan POLIMAS.
Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau memberi penekanan khusus terhadap dua elemen penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu, khususnya bakal pemimpin masa hadapan, iaitu disiplin dan sikap (attitude). Kedua-dua elemen ini merupakan asas penting dalam membentuk keperibadian, jati diri dan profesionalisme seseorang dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta kepimpinan.
Beliau turut berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai panduan dan inspirasi kepada para pelajar. Antara perkara yang diketengahkan termasuk kepentingan integriti dan tanggungjawab profesional, penerapan etika dalam kepimpinan dan proses pembuatan keputusan, pembentukan karakter pemimpin yang bernilai serta beramanah, di samping usaha melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berintegriti dan berwibawa.
Semoga segala ilmu, pengalaman dan nasihat yang dikongsikan dapat menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk terus membina kecemerlangan diri serta mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa hadapan yang berintegriti, beramanah dan berkualiti.