DARI KEDIAMAN RASMI PEGAWAI DAERAH KE GALERI SEJARAH : BANGUNAN WARISAN DIHIDUPKAN
Suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dapat dirasai pada hari ini, iaitu satu detik bersejarah tercipta apabila berlangsungnya Program Penyerahan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Kuala Muda kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK). Majlis tersebut telah disempurnakan dengan kehadiran Pegawai Daerah Kuala Muda, Puan Hajjah Sharifah Norulasyikhah Binti Syed Mohamad, Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah, Setiausaha MPSPK Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki, Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian serta warga kerja MPSPK yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Detik bermakna turut diserikan dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) penyerahan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Kuala Muda kepada MPSPK, sebagai tanda kesepakatan dan komitmen bersama dalam memastikan aset bersejarah ini terus dipelihara serta dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat. Dalam ucapannya, Yang Dipertua menegaskan bahawa penyerahan aset bersejarah ini bukan sekadar pemindahan sebuah bangunan, tetapi merupakan satu usaha besar untuk memastikan warisan Kuala Muda terus hidup, dikenali dan dihargai oleh masyarakat. Ianya juga rentetan daripada Program Citra Warisan : MPSPK bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengecat Balai Polis Lama Sungai Petani sebagai langkah pertama MPSPK yang turut bersama-sama memeliharan bangunan-bangunan warisan.
Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Kuala Muda ini mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi kerana pernah didiami oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama ketika berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda sekitar tahun 1936 hingga 1940.
MPSPK melihat bangunan bersejarah ini sebagai aset penting yang perlu dipelihara dan diberi nafas baharu dan rumah ini juga dirancang untuk dibangunkan sebagai Galeri Sejarah Kuala Muda, yang bakal menjadi pusat rujukan sejarah setempat dan destinasi pendidikan kepada generasi muda. Selain itu, rumah ini juga boleh menjadi salah satu tempat “heritage stop” dalam laluan pelancongan Sungai Petani dan Kuala Muda sekali gus menjadi hentian sejarah yang mampu menarik kehadiran pelajar, pengkaji serta pelancong.
Bagi memperkukuhkan usaha tersebut, MPSPK turut memperuntukkan sebanyak RM500,000 melalui Jabatan Landskap untuk menaik taraf kawasan sekitar bangunan ini. Kawasan tersebut akan dibangunkan sebagai ruang hijau bandar berkonsepkan Urban Forest, sejajar dengan aspirasi penghijauan negeri dan Program 2 Juta Pokok: “Mai Pakat-Pakat Tanam Pokok”.
Konsep yang dibawa cukup jelas: “Warisan Dipelihara, Hijau Diperkasa, Masyarakat Sejahtera.”
MPSPK komited untuk memastikan sejarah tidak hanya tersimpan dalam buku, tetapi dapat dilihat, dipelajari dan dihayati secara langsung oleh masyarakat. Kerana sesebuah bandar yang hebat bukan sahaja membina bangunan baharu, tetapi turut memelihara kisah yang membentuk identitinya.
Klik untuk gambar sekitar program.Klik untuk video sekitar program.







