
26 Ogos 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) terus komited memudah cara urusan pelabur melalui penyelarasan awal bersama pihak AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd., agensi teknikal luaran (ATL) serta jabatan dalaman MPKK.
Sehubungan itu, Mesyuarat Cadangan Projek Pemajuan 2.0 Tetuan AT&S telah diadakan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPKK, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, bagi membincangkan cadangan pembangunan serta mendapatkan input teknikal awal sebelum permohonan rasmi dikemukakan kepada Unit Pusat Setempat (OSC) MPKK.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak AT&S turut membentangkan Ringkasan Projek 2.0 yang melibatkan anggaran pelaburan sekitar Euro 1.5 hingga 2.0 bilion serta berpotensi menyediakan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.
Mesyuarat ini mencerminkan pendekatan proaktif MPKK dalam mempercepatkan penyelarasan teknikal, mengenal pasti keperluan serta isu di peringkat awal dan memastikan proses pertimbangan cadangan pemajuan dapat dilaksanakan secara lebih cekap, teratur dan bersepadu.
Inisiatif ini turut memperkukuh komitmen MPKK dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang mesra pelabur, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan Daerah Kulim sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif.
Mesyuarat turut melibatkan wakil daripada agensi teknikal luaran, iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Kulim (PTD), PLANMalaysia Kedah, Jabatan Kerja Raya Daerah Kulim/Bandar Baharu (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kulim/Bandar Baharu (JPS), Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah Cawangan Kulim (JAS), Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. Wilayah Kedah Selatan (SADA), Nur Power Sdn. Bhd., Indah Water Konsortium Berhad (IWK) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut hadir ialah wakil jabatan dalaman MPKK yang terdiri daripada Jabatan Perancangan dan Landskap, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta serta Urus Setia OSC MPKK.
Pandangan dan maklum balas daripada semua agensi serta jabatan yang terlibat amat penting bagi memastikan cadangan pembangunan dapat dipertimbangkan secara menyeluruh, teratur dan selaras dengan keperluan teknikal serta perancangan semasa.