SANTUNI PERWIRA NEGARA – JASA DIKENANG, PENGORBANAN DISANJUNG
Di sebalik keamanan yang kita kecapi hari ini, tersimpan kisah pengorbanan insan-insan yang pernah berdiri di barisan hadapan, mempertaruhkan tenaga, masa dan jiwa demi memastikan tanah air aman dan sejahtera.
Jasa para perwira mungkin tidak mampu dibalas dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah dan dikenang sepanjang zaman. Atas dasar penghargaan dan rasa hormat yang tidak terhingga, Program Santuni Perwira Negara anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) diadakan sebagai tanda mengenang bakti serta menyantuni insan-insan yang telah mencurahkan khidmat demi negara tercinta.
Seramai 100 orang ahli-ahli Persatuan Bekas Polis Cawangan Kuala Muda dan ahli-ahli Persatuan Veteran ATM Cawangan Sungai Petani diraikan dalam satu majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna. Program ini juga menjadi wadah mengeratkan silaturahim antara MPSPK bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Dalam suasana sambutan Bulan Kebangsaan, program ini mengingatkan kita bahawa kemerdekaan dan keamanan yang dinikmati hari ini hadir bersama harga sebuah pengorbanan. Setiap jasa yang dicurahkan, setiap langkah yang dikorbankan dan setiap perjuangan yang dilalui menjadi sebahagian daripada sejarah yang wajar terus dikenang oleh generasi hari ini dan akan datang.
Hadir ke program tersebut ialah YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, Yang Dipertua MPSPK, ACP Tuan Hanyan bin Ramlan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Leftenan Kolonel Tuan Zainuddin bin Hussin, Ketua Staf Tadbir dan Logistik Markas 6 Briged, Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki, Setiausaha MPSPK, Puan Rafizah binti Hashim, Pengerusi PUSPANITA MPSPK, Puan Junaida binti Main, Pengerusi PERKEP Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, Mejar Norhaniza binti Ghazali, Wakil Pengerusi BAKAT 6 Briged, Tuan Haji Misnan bin Basri, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Kuala Muda serta Mejar Anuar bin Che Mat, Ketua Cawangan Persatuan Veteran ATM Cawangan Sungai Petani. Tidak ketinggalan Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian serta warga kerja MPSPK hadir bagi menzahirkan penghargaan dan sokongan kepada para perwira negara.
Jasa dikenang, pengorbanan disanjung, bakti perwira kekal dalam ingatan. Terima kasih atas segala pengorbanan demi keamanan dan kedaulatan Malaysia tercinta.
Klik untuk gambar sekitar program.Klik untuk video sekitar program.
















