11 September 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) bersama AT&S Malaysia- Kulim, PUSPANITA MPKK dan komuniti Sungai Seluang telah menjayakan Program Komuniti Lestari di Masjid Al-Muhtadin, Sungai Seluang, Lunas dengan penglibatan hampir 160 orang peserta yang menghimpunkan warga MPKK, AT&S Malaysia, PUSPANITA MPKK serta komuniti setempat dalam tiga komponen utama iaitu gotong-royong, penanaman pokok dan kitar semula, sebagai usaha bersama mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan lestari.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan AT&S Malaysia, Puan Yap Suan See, disusuli ucapan perasmian oleh Pengerusi PUSPANITA MPKK, YBhg. Datin Azlina Md Zuki. Turut disempurnakan simbolik perasmian dengan penanaman pokok dan penyerahan pokok kepada ketua kampung Sg. Seluang sebelum para peserta memulakan aktiviti lapangan. Turut hadir YBhg. Dato’ Yang Dipertua MPKK dan Tuan Haji Badrol bin Mohd Yusof, Ahli Majlis Zon 11.

Program ini juga mencerminkan komitmen tanggungjawab sosial korporat AT&S Malaysia yang bukan sahaja beroperasi sebagai pemain industri di Kulim, malah turut turun padang bersama pihak berkuasa tempatan serta masyarakat demi kesejahteraan sosial masyarakat setempat.

Impak program dapat dirasai secara langsung oleh komuniti Sungai Seluang menerusi kerja pembersihan bahu jalan dan longkang, penghijauan kawasan melalui penanaman pokok serta pengasingan dan pengumpulan bahan kitar semula.

Lebih bermakna, hasil daripada jualan bahan kitar semula yang dikumpulkan akan disalurkan kembali kepada penduduk kampung, menjadikan inisiatif ini satu bentuk kelestarian yang bukan sahaja menjaga alam sekitar, malah memberi manfaat semula kepada masyarakat.

Penglibatan ahli PUSPANITA MPKK turut memperkukuh nilai kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga organisasi, khususnya melalui aktiviti kebersihan, penghijauan, kitar semula dan kesejahteraan komuniti.

MPKK berharap kerjasama strategik bersama AT&S Malaysia, PUSPANITA MPKK dan komuniti setempat dapat diteruskan melalui lebih banyak program berimpak pada masa hadapan, sekali gus membudayakan amalan menjaga kebersihan, penghijauan kawasan dan kitar semula secara berterusan dalam kalangan masyarakat.

Ucapan penghargaan kepada rakan strategik iaitu E-Idaman Sdn. Bhd., pihak Masjid Al Muhtadin, serta warga komuniti Sg. Seluang yang turut hadir menjayakan program ini. Kelestarian bukan sekadar tanggungjawab sebuah organisasi, tetapi komitmen bersama untuk meninggalkan persekitaran yang lebih baik kepada generasi akan datang.

“Menyemai Kehijauan, Menuai Kelestarian.”

Klik untuk gamba sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content