






12-13 September 2026 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) terus memperkukuh komitmen dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat melalui penyertaan dalam Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari di Bertam Resort, Pulau Pinang.
Program bertemakan “Sinergi MADANI, PBT Lestari, Persekitaran Harmoni” menjadi wadah penting dalam memperkukuh sinergi antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT, di samping memperkasa peranan PBT sebagai barisan hadapan dalam penyampaian perkhidmatan yang cekap, responsif dan memberi impak secara langsung kepada rakyat.
Konvensyen yang berlangsung pada 12 September 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, selain menghimpunkan kepimpinan KPKT, kerajaan negeri serta PBT dari seluruh negara.
MPKK turut mengambil bahagian dalam program berkenaan melalui delegasi yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK. Penyertaan ini memberi ruang kepada MPKK untuk memperkukuh jaringan strategik, berkongsi amalan terbaik serta mengikuti perkembangan agenda reformasi, pendigitalan, inovasi dan peningkatan prestasi kerajaan tempatan.
Kemuncak program pada 13 September 2026 turut membawa khabar membanggakan apabila MPKK menerima dua pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
MPKK berjaya meraih Tempat Ketiga bagi Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar Tahun 2026 menerusi pelaksanaan kempen di Kulim, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Majlis dalam memastikan pengurusan persekitaran bandar yang lebih teratur, selamat dan sejahtera untuk komuniti.
Selain itu, MPKK turut dinobatkan sebagai Tempat Kedua Anugerah PBT Terbaik, Anugerah Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi PBT Tahun 2026 bagi Kategori Perbandaran, selaras dengan usaha berterusan Majlis memperluas pendigitalan dan memudahkan urusan perkhidmatan kepada masyarakat.
Pencapaian ini bukan sekadar sebuah pengiktirafan kepada organisasi, malah menjadi bukti kepada masyarakat dan seluruh warga Kulim bahawa setiap usaha penambahbaikan, inovasi, pendigitalan serta pengurusan persekitaran yang dilaksanakan oleh MPKK terus menghasilkan impak yang positif dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen dan usaha berpasukan seluruh warga kerja MPKK, kerjasama strategik pelbagai agensi serta sokongan berterusan masyarakat Kulim. MPKK percaya bahawa kecemerlangan sesebuah PBT bukan hanya diukur melalui pengiktirafan yang diterima, tetapi melalui keupayaan untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti serta memenuhi keperluan rakyat.
MPKK turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima pengiktirafan dan memenangi anugerah pada tahun ini.
Kejayaan setiap PBT merupakan manifestasi komitmen bersama dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan kerajaan tempatan serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat, mampan dan sejahtera untuk rakyat.
Tahniah kepada seluruh warga MPKK dan terima kasih kepada masyarakat Kulim atas kepercayaan, sokongan serta kerjasama yang diberikan.
Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama demi Kulim yang lebih progresif, mampan dan sejahtera!