
15 September 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila dipilih sebagai salah satu penerima Anugerah National BIM e-Submission (NBeS) 2026 sempena Majlis Perasmian Malaysia BIM Day 2026 yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Pengiktirafan ini merupakan penghargaan terhadap komitmen dan usaha MPKK dalam memperkasakan pendigitalan proses penyerahan serta semakan pelan bangunan melalui platform National BIM e-Submission (NBeS), selaras dengan agenda transformasi digital sektor pembinaan negara.
Pelaksanaan NBeS oleh MPKK sejak tahun 2023 telah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pembangunan melalui proses kelulusan yang lebih sistematik, telus dan berteraskan teknologi digital. Inisiatif ini turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi daerah Kulim dengan berjaya menarik nilai pelaburan sebanyak RM6.2 bilion.
Majlis Perasmian Malaysia BIM Day 2026 yang bertemakan “BIM Beyond Design” mengetengahkan penerapan Building Information Modelling (BIM) yang melangkaui aspek reka bentuk dan pembinaan kepada keseluruhan kitar hayat aset, termasuk perancangan, operasi, penyelenggaraan dan pengurusan aset.
Majlis berkenaan telah disempurnakan bersama oleh YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dan YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam mempercepatkan transformasi digital sektor pembinaan serta persekitaran binaan negara.
Malaysia BIM Day 2026 turut menghimpunkan kira-kira 600 peserta terdiri daripada agensi Kerajaan, pemain industri, pemaju, kontraktor, golongan profesional, institusi akademik serta syarikat teknologi bagi berkongsi inovasi, memperkukuh kerjasama dan mempercepatkan penerapan teknologi digital dalam industri pembinaan.
MPKK merupakan salah satu daripada tiga (3) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) penerima Anugerah National BIM e-Submission (NBeS) 2026, bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Perbadanan Putrajaya, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan organisasi dalam melaksanakan transformasi digital proses pembangunan.
Pencapaian ini membuktikan komitmen MPKK dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam melalui inovasi, teknologi dan tadbir urus digital yang lebih cekap, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Kulim sebagai sebuah daerah yang progresif, berdaya saing dan mesra pelaburan.
MPKK akan terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa agenda bandar pintar, mempercepatkan pembangunan mampan serta memperkukuhkan kedudukan Kulim sebagai hab perindustrian berteknologi tinggi dan destinasi pelaburan utama di negeri Kedah.