KARNIVAL SEPAK RAGA TUJU MPSPK 2026 MERIAHKAN ARENA OF SPORT, SUNGAI PETANI

Arena of Sport, Sungai Petani Karnival Sepak Raga Tuju MPSPK Tahun 2026 berlangsung dengan penuh meriah, menghimpunkan kira-kira 1,600 peserta dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak, Perlis, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pahang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah Darul Aman. Hadir bersama YB Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan, Ahli Parlimen Merbok, YB Encik Bau Wong Bau Ek, ADUN Sidam, YB Encik Baddrol bin Bakhtiar, ADUN Gurun, Barisan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Encik Mohamad Hilmi bin Marzuki, Setiausaha Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan Encik Zaharin bin Dato’ Haji Zahari, Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran) serta barisan kepimpinan agensi kerajaan dalam negeri Kedah. ‎

Penganjuran karnival ini bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi usaha untuk menghidupkan kembali kegemilangan sepak raga sebagai warisan sukan tradisi yang dekat dengan masyarakat kita.

Kehadiran peserta dari pelbagai negeri turut menyemarakkan pelancongan sukan di Sungai Petani di samping memperkenalkan Sungai Petani sebagai destinasi yang akan meninggalkan kenangan manis.

MPSPK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kelab Sepak Raga Kuala Muda, urus setia, pengadil, sukarelawan, petugas teknikal, pihak keselamatan, pengurusan Arena of Sport serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan karnival ini.

Tidak dilupakan, ucapan terima kasih dan penghargaan turut ditujukan kepada semua pempamer yang telah mengambil bahagian dan memeriahkan karnival ini. Kehadiran serta sokongan para pempamer telah menambah warna dan kemeriahan sepanjang berlangsungnya program.

Semoga karnival ini menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula sukan tradisi, menghidupkan gelanggang, mengaktifkan generasi muda dan terus menyemarakkan kehidupan komuniti di Sungai Petani.

Klik untuk gambar sekitar program
Klik untuk video sekitar program

Skip to content