OPERASI PENYUSUNAN PENJAJA TAMAN BUDIMAN

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 3 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja, Bahagian Penguatkuasaan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM telah melaksanakan Operasi Penyusunan Penjaja Taman Budiman bagi menyusun semula para penjaja di kawasan itu.

Operasi ini dijalankan susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam berkaitan kesesakan lalu lintas dan isu kebersihan di kawasan berkenaan. Sehubungan itu, pihak Majlis telah mengambil pendekatan menyusun semula lokasi penjaja bagi memastikan kawasan perniagaan lebih teratur, bersih, selamat serta tidak mengganggu kelancaran trafik.

Walau bagaimanapun, para penjaja masih dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis dengan syarat semua peralatan perniagaan hendaklah disimpan dan dialihkan sebaik sahaja tamat waktu operasi. Langkah ini bertujuan memastikan laluan awam sentiasa lapang, kebersihan kawasan terpelihara serta memberi keselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian secara pandu lalu (drive-thru) di kawasan tersebut kerana tindakan berkenaan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan risiko kemalangan. Pengunjung disarankan untuk meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang disediakan sebelum membuat pembelian.

Pihak Majlis berharap semua penjaja dan orang ramai dapat memberikan kerjasama serta mematuhi syarat dan arahan yang telah ditetapkan demi mewujudkan kawasan perniagaan yang lebih tersusun, bersih, selamat dan kondusif untuk semua.

 
Skip to content