CROSS-BORDER FOOTBALL FRIENDLY MATCH 2026 PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-THAILAND

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 15 Ogos 2026 – Perlawanan Cross-Border Football Friendly Match 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sri Gunong, Alor Setar, hari ini menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Thailand, khususnya melalui penglibatan generasi muda dalam bidang sukan.
 
Program anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Islamic Private School Association, Wilayah Satun, Thailand itu turut menjadi wadah untuk mencungkil dan mengembangkan bakat bola sepak dalam kalangan pemain muda selain memberi pendedahan kepada mereka untuk beraksi menentang pasukan dari luar negara.
 
Pertandingan tersebut melibatkan penyertaan 11 buah sekolah dari Alor Setar dan Satun dalam tiga kategori iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 15 Tahun dan Bawah 18 Tahun.
 
Bagi kategori Bawah 12 Tahun, Sekolah Kebangsaan Taman Uda muncul juara, manakala kategori Bawah 15 Tahun dimenangi Sekolah Yayasan Samakkee Islam Wittaya, Satun dan kategori Bawah 18 Tahun menyaksikan Sekolah Muslim Wittaya Bawah, Satun muncul sebagai juara.
 
Selain memperkukuh hubungan dua hala melalui aktiviti sukan, penganjuran perlawanan persahabatan itu turut membuka peluang kepada pemain muda tempatan untuk memperoleh pengalaman beraksi dalam suasana pertandingan antarabangsa.
 
Inisiatif berkenaan juga dilihat mampu menyokong usaha mempromosikan Alor Setar sebagai destinasi pelancongan sukan, di samping menggalakkan kunjungan pelancong dari Wilayah Satun, Thailand ke bandar raya ini.
 
Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, YB Rashidi Razak; ADUN Derga, YB Muhamad Amri Wahab; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBAS, Encik Afizudin Dato’ Paduka Haji Mohd Saad yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar; Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai yang terlibat.
 
Turut hadir dari pihak Satun ialah Presiden Islamic Private School Association Satun Province, Dr. Umar Akem; Setiausaha Association of Private Islamic Schools in Satun Province, Mr. Burhanuddin Baikadem; Pengarah Muslim Studies School, Mr. Kadech Longsaman; Penasihat Association of Private Islamic Schools in Satun Province, Mr. Sukri Nakkawat serta Pengarah Phatthanakan Education Foundation School, Ms. Anita Manoondawawi.
 
MBAS berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform mempererat hubungan masyarakat Malaysia dan Thailand, khususnya antara Alor Setar dan Wilayah Satun, menerusi bidang sukan, pendidikan dan pembangunan generasi muda.
 
Usaha tersebut juga selaras dengan aspirasi MBAS untuk memperkukuh jaringan kerjasama rentas sempadan serta memperkenalkan Alor Setar sebagai bandar raya yang aktif dalam penganjuran program sukan dan aktiviti antarabangsa.
 
 
Skip to content