DATUK BANDAR SERU INSTITUSI PERBANKAN DI BANDAR RAYA ALOR SETAR BERSAMA-SAMA SEMARAKKAN BULAN KEMERDEKAAN

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 26 Ogos 2026 — Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya, menyeru institusi perbankan di bandar raya ini supaya bersama-sama mengambil inisiatif menganjurkan program bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
 
Beliau berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan mandapat sokongan dengan penglibatan semua pihak termasuk institusi perbankan.
 
Katanya, inisiatif Bank Simpanan Nasional (BSN) menganjurkan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat BSN di BSN Alor Setar ini wajar dijadikan contoh oleh bank-bank lain di bandar raya berkenaan.
 
“Saya sebagai Datuk Bandar mengucapkan terima kasih dan gembira kerana dalam banyak-banyak bank yang ada di pusat bandar raya Alor Setar, BSN mengambil inisiatif untuk mengadakan program seumpama ini. Tahun ini kita sambut Hari Kemerdekaan ke-69. Saya ucapkan tahniah dan saya nak menyeru kepada bank-bank lain, bank-bank yang ada di Alor Setar, semua sekali bersama-sama buat macam ini. Saya percaya bank BSN akan menjadi contoh kepada bank-bank yang lain.”
 
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis berkenaan di ibu pejabat BSN Alor Setar, Jalan Sultan Badlishah, hari ini. Hadir sama Pengarah BSN Kedah/Perlis, Tuan Shahrul Anuar Hamid serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Tambah beliau, penglibatan pelbagai pihak dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan mampu memperkukuh semangat cintakan negara, selain mewujudkan suasana sambutan yang lebih meriah dan menyeluruh dalam kalangan masyarakat.
 
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya mensyukuri nikmat kemerdekaan yang membolehkan rakyat hidup dalam suasana aman dan harmoni di Malaysia, termasuk di Kedah khususnya Alor Setar.
 
“Kita harus meletakkan rasa syukur kepada Allah SWT, yang mana negara kita telah berada sebagai sebuah negara yang merdeka dan kita dapat hidup seperti mana kehidupan kita di Malaysia, di negeri Kedah, di Alor Setar, sebagaimana pada hari ini,” katanya.
 
Beliau turut menyeru masyarakat supaya menjadikan perpaduan sebagai antara penghayatan utama sempena sambutan kemerdekaan, selaras dengan titah dan pesanan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang sering menekankan kepentingan memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat.
 
Menurutnya, kepelbagaian kaum yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di negara ini perlu terus dipelihara bagi memastikan keamanan dan keharmonian dapat dikekalkan.
 
Pada masa sama, Datuk Bandar berkata semangat kemerdekaan turut perlu diterjemahkan melalui tanggungjawab bersama dalam memastikan kebersihan bandar raya Alor Setar sentiasa terpelihara.
 
“Dalam ruang jiwa merdeka, saya ingin mengajak semua yang ada, yang dikatakan resilience atau ketahanan sebuah kota, sebuah bandar raya, selain daripada masyarakatnya yang hidup penuh harmoni, perkara yang paling kita nak jaga adalah kebersihan.
 
“Bawalah mesej bahawa kita mesti jaga bandar raya Alor Setar ini sentiasa bersih. Masing-masing jaga di tempat masing-masing. BSN, balik rumah jaga depan rumah, tepi rumah, jaga komuniti taman perumahan kita dan insya-Allah, itulah sebenarnya jiwa merdeka yang patut ada pada kita dalam menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-69 pada tahun ini,” katanya.
 
 
Skip to content