MEDAN SELERA PUSAT BANDARAYA TERCALON DALAM SENARAI AKHIR ANUGERAH MEDAN SELERA BERSIH DAN SELAMAT PERINGKAT KEBANGSAAN 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 19 Ogos 2026 – Medan Selera Pusat Bandaraya di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah tercalon dalam senarai akhir Anugerah Medan Selera Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan 2026, sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan dan keselesaan pengunjung sentiasa terpelihara.
 
Sehubungan itu, satu sesi penilaian telah diadakan pagi tadi di Medan Selera Pusat Bandaraya bagi menilai tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pengurusan medan selera berkenaan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
 
Anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan yang bertujuan mempromosikan amalan kebersihan premis, menjamin keselamatan makanan serta membudayakan gaya hidup sihat di medan selera seluruh negara.
 
Sesi penilaian tersebut melibatkan empat panel penilai iaitu Penolong Pengarah Kanan, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Puan Teh Fuziana Amiruddin; Pegawai Kesihatan Persekitaran, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Puan Hanis Syakira Salman; Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Encik Mohd Saufi bin Omar serta Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan, Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT, Encik Mohd Zamree Masdar.
 
Turut hadir Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Mohamad Suhaimi bin Ismail; Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS, Puan Nor Shakila Che Ali; Ahli-Ahli Majlis MBAS, pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar serta pegawai-pegawai yang terlibat.
 
Pencalonan Medan Selera Pusat Bandaraya dalam senarai akhir anugerah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MBAS dalam memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pengurusan kemudahan awam sentiasa diberi perhatian demi keselesaan peniaga serta pengunjung.
 
Usaha tersebut turut selaras dengan komitmen MBAS untuk memperkasakan pengurusan medan selera yang bersih, selamat dan kondusif, di samping menggalakkan pengusaha makanan mengamalkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan.
 
MBAS berharap sesi penilaian tersebut dapat membuahkan satu lagi kejayaan kepada bandar raya Alor Setar, sekali gus mengharumkan nama bandaraya Alor Setar dan Negeri Kedah di peringkat kebangsaan.
 
Pihak MBAS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan Medan Selera Pusat Bandaraya sentiasa berada pada tahap terbaik serta memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.
 
Skip to content