OPERASI BERSEPADU OPS AKTA 446 PERIKSA PREMIS DAN ASRAMA PEKERJA DI POKOK SENA
Pokok Sena, 20 Ogos 2026 – Operasi Bersepadu OPS Akta 446 telah dilaksanakan di sebuah kilang Mukim Jabi, Pokok Sena, pagi semalam bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].
Operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), dengan pemeriksaan melibatkan sebuah kilang dan dua blok bangunan asrama pekerja.
Bagi pihak MBAS, pemeriksaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan dengan memberi tumpuan kepada aspek pelesenan premis berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Premis Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBAS) 2010 serta Undang-Undang Kecil Iklan (MBAS) 2010.
Hasil pemeriksaan mendapati premis kilang berkenaan mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh MBAS. Bagaimanapun, dua blok bangunan asrama yang dibina di atas tanah berkenaan disyaki tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) dan perkara tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Perancangan Pembangunan MBAS untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pihak PDRM telah menjalankan pemeriksaan melibatkan seramai 119 pekerja kilang yang terdiri daripada warga asing dari Nepal, Myanmar, Bangladesh dan Indonesia. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua pekerja berkenaan mempunyai pasport dan permit pekerjaan yang sah serta tiada sebarang tangkapan dilakukan sepanjang operasi.
Jabatan Tenaga Kerja turut menjalankan pengumpulan data berkaitan pekerja dan asrama yang terlibat, selain mengadakan satu sesi taklimat keselamatan kepada pekerja serta majikan berhubung pematuhan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].
Dalam pada itu, PERKESO melaksanakan semakan terhadap rekod caruman majikan kepada pekerja dan hasil semakan mendapati tiada sebarang notis dikeluarkan.
Operasi bersepadu seumpama ini mencerminkan komitmen agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa berkaitan dalam memastikan pematuhan terhadap perundangan yang berkuat kuasa, khususnya melibatkan aspek pelesenan, penginapan pekerja, keselamatan serta kebajikan tenaga kerja.
MBAS akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam melaksanakan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan aktiviti perniagaan serta pembangunan dalam kawasan bandaraya Alor Setar mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
