ISUZU CYCLE FOR HEALTH EDISI KE-16 MERIAHKAN ALOR SETAR CAR FREE SATURDAY EDISI SEPTEMBER 2026
Alor Setar, 5 Sept 2026 – Isuzu Cycle for Health Edisi Ke-16 memeriahkan penganjuran Alor Setar Car Free Saturday Edisi September 2026 dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dari seluruh Malaysia serta peserta antarabangsa dari Satun, Thailand.
Peserta kayuhan dilepaskan seawal jam 7.00 pagi bertempat di pejabat Isuzu Cawangan Alor Setar, Isuzu Indah Utara Auto Sdn. Bhd. Acara pelepasan telah disempurnakan Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya bersama Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri Malaysia, YB Tuan Chan Ming Kai; ADUN Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong; Ahli Majlis MBAS, Dato’ Ch’ng Boon Chye dan Encik Samsudin Ahmad; Pengarah Urusan Indah Utara Auto Sdn Bhd, Encik Poh Cheng Hai serta Captain Alor Setar LM Bikers Club, Encik Fong Chan Hap.
Kayuhan sejauh 60 kilometer itu merentasi beberapa laluan sekitar bandar raya Alor Setar, sekali gus memberi peluang kepada peserta menikmati suasana bandar raya sambil menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti berbasikal.
Penganjuran Isuzu Cycle for Health Edisi Ke-16 turut menyumbang kepada kemeriahan Alor Setar Car Free Saturday sebagai salah satu inisiatif menghidupkan kawasan pusat bandar dengan aktiviti rekreasi, kesihatan dan kemasyarakatan.
