MBAS LAKSANA OPERASI PEMERIKSAAN PREMIS CUCI KERETA TIDAK BERLESEN
Alor Setar, 16hb September 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah melaksanakan Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Cuci Kereta di sekitar bandar raya Alor Setar baru-baru ini. Operasi ini dijalankan bertujuan untuk memastikan semua pengusaha premis cuci kereta mematuhi syarat-syarat pelesenan yang telah ditetapkan di bawah undang-undang kecil MBAS.
Operasi di sekitar Bandar Raya Alor Setar itu melibatkan beberapa laluan utama iaitu Jalan Kuala Kedah hingga Kota Sarang Semut, Jalan Langgar hingga Alor Mengkudu, Jalan Datuk Kumbar hingga Pokok Sena serta Jalan Pegawai hingga Anak Bukit.
Sebanyak 54 premis telah diperiksa dan hasil pemeriksaan, 37 kompaun telah dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBAS) 2010 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah. Selain itu, tindakan turut diambil di bawah UUK 3(1) Iklan (MBAS) 2010 bagi kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen daripada pihak MBAS.
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
