MBAS SERTAI KONVENSYEN PBT, SAMBUTAN HARI KESIHATAN PERSEKITARAN SEDUNIA 2026
Bertam, Pulau Pinang, 13 Sept 2026 — Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menyertai Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berlangsung di Bertam Resort, Bertam, Pulau Pinang.
Program berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Tuan Nga Kor Ming. Hadir sama Timbalan Menteri KPKT, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil serta Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), YBhg. Dato’ Sri Mohd. Fadzli Mohd. Kenali.
Delegasi MBAS diketuai Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, bersama Ahli-Ahli Majlis MBAS, Puan Robiah Dahaman, Puan Susilawati Abdul Wahab dan Encik Amir Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Tuan Haji Bohari Md Yusof; serta pegawai-pegawai yang terlibat.
Penganjuran selama dua hari bermula 12 hingga 13 September itu menghimpunkan seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari seluruh negara. Bertemakan “Sinergi MADANI – PBT Lestari, Persekitaran Harmoni”, ia menjadi wadah memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT, selain memperkasa peranan PBT sebagai barisan hadapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pihak MBAS telah memperoleh penarafan 4 bintang melalui pengumuman rasmi SPB-PBT 2026 di majlis tersebut yang merupakan satu penilaian bagi mengukur tahap prestasi, integriti, pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan PBT di seluruh Malaysia.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pengumuman para pemenang lapan kempen berimpak tinggi dalam Kempen Kesihatan Persekitaran, penarafan 5 Bintang dalam Program Penarafan Bintang Audit Teknikal Perkhidmatan Kesihatan Persekitaran Tahun 2026 serta Anugerah Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi PBT Tahun 2026.
Penganjuran Konvensyen dan SHKPS Peringkat Kebangsaan 2026 ini selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran serta komitmen semua pihak terhadap kepentingan kesihatan persekitaran sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan bandar yang bersih, sihat, selamat dan lestari. Sehubungan itu, pihak MBAS akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai pihak serta melaksanakan inisiatif berkaitan kesihatan persekitaran dan kelestarian bandar demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
