OPERASI BERSEPADU PREMIS HOTEL, 3 DIKOMPAUN DAN 1 NOTIS DIKELUARKAN
Alor Setar, 23 Sept 2026 — Sebanyak empat premis hotel diperiksa dalam Operasi Bersepadu Premis Hotel yang dilaksanakan di sekitar kawasan Tandop dan Shahab Perdana, malam semalam.
Operasi itu dilaksanakan Bahagian Kawalan Penyakit, Promosi Kesihatan dan Inspektorat Kesihatan Persekitaran serta Bahagian Pelesenan MBAS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK). Ia bertujuan memastikan pengusaha premis mematuhi aspek kebersihan, kesihatan persekitaran, pelesenan serta peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Hasil pemeriksaan mendapati tiga premis dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan berkaitan penyelenggaraan bilik hotel yang tidak memuaskan, lesen hotel yang telah tamat tempoh serta mempamerkan iklan tanpa lesen.
Selain itu, satu notis di bawah Seksyen 82(1), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) turut dikeluarkan berkaitan kacau ganggu kekotoran.
Operasi bersepadu berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBAS dalam memastikan premis perniagaan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, selain menyediakan persekitaran yang bersih, selamat dan kondusif kepada orang awam.
MBAS akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
