26 September 2026 – Program Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Taman Rekreasi Air Terjun Junjong, Kulim, sebagai salah satu usaha membudayakan amalan kebersihan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.

Program anjuran Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dengan sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini telah menghimpunkan anggaran seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada warga MPKK, Ahli-Ahli Majlis, agensi kerajaan, para pelajar, penduduk setempat serta wakil koperasi dan persatuan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Badrol Hisam bin Mohd Yusoff, Ketua Whip, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kulim, yang mewakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim.

Pelbagai aktiviti gotong-royong dan pembersihan telah dilaksanakan sebagai manifestasi semangat kebersamaan dan tanggungjawab kolektif dalam memastikan kawasan rekreasi awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat, selesa dan lestari.

Hasil pelaksanaan program, sebanyak 1,700 kilogram sisa pukal berjaya dikutip, manakala 126.45 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpulkan. Program ini turut memberi penekanan kepada amalan pengurangan sisa, pengasingan sisa, guna semula dan kitar semula sebagai sebahagian daripada budaya hidup lestari.

Penganjuran HCM 2026 membawa mesej bahawa kebersihan bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan bersama seluruh anggota masyarakat.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama, komitmen serta sumbangan dalam menjayakan Program Hari Cuci Malaysia 2026.

Semoga semangat kebersamaan ini terus diperkukuh dalam usaha mewujudkan Kulim yang lebih bersih, sihat, selamat dan lestari untuk kesejahteraan bersama.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#HariCuciMalaysia2026

Skip to content