PROGRAM INISIATIF PENJAWAT AWAM SIHAT SEJAHTERA (i-PASS) MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR
Alor Setar, 29 September 2026 — Usaha memperkukuh budaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja diperkasa menerusi Program Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera (i-PASS) Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang berlangsung baru-baru ini di Dewan As-Sakinah, Tingkat 7, Menara MBAS.
Program yang berlangsung selama 2 hari pada 28 dan 29 September itu merupakan kolaborasi MBAS bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) yang dipilih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Kohort 1, sekali gus menjadi program pertama melibatkan penganjuran jabatan atau agensi kerajaan di Kedah.
Inisiatif berkenaan memberi penekanan kepada kepentingan saringan awal, khususnya bagi mengenal pasti risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan warga MBAS. Sepanjang program, warga kerja berpeluang menjalani pelbagai penilaian meliputi saringan kesihatan, saringan minda sihat, pemeriksaan pergigian dan ujian kecergasan, selain menyertai kuiz serta beberapa sesi taklimat berkaitan penjagaan diri dan pencegahan penyakit.
