3,000 PESERTA MERIAHKAN ALOR SETAR CAR FREE SATURDAY EDISI KE-6 OKTOBER 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 3 Oktober 2026 — Kira-kira 3,000 peserta daripada pelbagai peringkat umur membanjiri Dataran Medan Bandar Alor Setar bagi memeriahkan program Alor Setar Car Free Saturday (ASCFS) Edisi Ke-6 Oktober 2026, pagi semalam.
 
Menggabungkan elemen kecergasan, rekreasi, kesedaran kesihatan dan kebudayaan, program berkenaan bukan sahaja menjadi medan aktiviti riadah terbuka, malah menghidupkan suasana pusat bandar dengan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, YB Mejar (B) Mansor Zakaria, bersama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Pengerusi PUSPANITA MBAS, YBhg. Datin Fauziah Halim; Pengarah Negeri HASiL Kedah, Nor Azam Mohamad; Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, YBrs. Dr. Nor’Aishah Abu Bakar; Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Akmal Naziah Ahmad serta Pengerusi Cancer Society Malaysia, Zuraini Kamal.
 
Edisi kali ini tampil dengan pelbagai acara utama yang membawa mesej tersendiri, antaranya Kedah Pink Oktober Run sejauh lima kilometer, anjuran Jabatan Pembedahan Hospital Sultanah Bahiyah bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
 
Turut diadakan Walk Beyond Limits, aktiviti berjalan santai sejauh tiga kilometer anjuran HASiL Kedah sempena Bulan Hasil 2026 dan Sambutan Hari Farmasi Peringkat Negeri Kedah anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. Program turut diserikan dengan Cultural Rush 2026, acara explorace anjuran Kolej Poly-Tech MARA yang menggabungkan elemen cabaran, kerjasama dan penerokaan dalam suasana santai.
 
Selain acara utama, pelbagai aktiviti sampingan turut menjadi tarikan pengunjung, termasuk program Outreach Universiti Utara Malaysia (UUM), pameran agensi dan komuniti, pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti senamrobik dan Zumba. Suasana pagi turut dimeriahkan dengan aktiviti berbasikal menerusi Jom Kayuh Gerek, selain persembahan pancaragam dan Gendang 24 Musim yang menyuntik warna serta keunikan budaya dalam program berkenaan.
 
Pelbagai aktiviti sisipan, pertandingan warna kanak-kanak, cabutan bertuah dan hadiah menarik turut disediakan bagi menambah kemeriahan serta menggalakkan penyertaan orang ramai sepanjang program berlangsung.
 
Penganjuran ASCFS secara berterusan mencerminkan usaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam menggalakkan gaya hidup aktif, memperkukuh interaksi komuniti serta menjadikan ruang bandar sebagai kawasan yang lebih mesra masyarakat.
 
Sehubungan itu, MBAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi rakan strategik serta penaja atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan penganjuran ASCFS edisi kali ini. Kerjasama erat semua pihak menjadi pemangkin kepada kelancaran program, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Alor Setar sebagai bandar raya yang aktif, inklusif dan mesra komuniti.
 
Kehadiran ribuan peserta dalam edisi kali ini sekali lagi membuktikan bahawa ruang bandar mampu menjadi platform yang menyatukan masyarakat melalui aktiviti sihat, rekreasi dan pengisian bermanfaat, sekali gus menyemarakkan kehidupan bandar raya Alor Setar.
 
Skip to content