PROJEK NAIK TARAF TERMINAL SHAHAB PERDANA FASA 2 CAPAI 95 PERATUS
Alor Setar, 1 Oktober 2026 – Projek menaik taraf Terminal Shahab Perdana (TSP) yang bernilai RM12 juta kini mencapai kemajuan sebenar 95 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini, sekali gus membuka ruang kepada transformasi terminal berkenaan sebagai hab pengangkutan, perniagaan dan tarikan pelancongan di bandar raya ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, YB Dzowahir Ab Ghani berkata, projek fasa kedua yang bermula pada 2025 itu kini berada pada peringkat akhir dan hanya memerlukan beberapa kerja penambahbaikan sebelum dapat disiapkan sepenuhnya.
Beliau berkata, pembangunan TSP bukan sekadar memberi tumpuan kepada keperluan pengguna pengangkutan awam, sebaliknya turut dirancang sebagai ruang yang lebih terbuka dan selesa untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.
“Kita nak jadikan Terminal Shahab Perdana ini bukan sahaja sebagai tempat tumpuan pengguna yang ingin menaiki bas, tetapi turut menjadi kawasan yang memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat setempat untuk datang.
“Di sini juga kita dapat lihat terdapat tapak-tapak perniagaan yang disediakan dan kita mahu menjadikan kawasan dalam kompleks Terminal Shahab Perdana ini sebagai satu hab perniagaan yang membolehkan masyarakat membeli-belah dan menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau perkembangan projek menaik taraf Terminal Shahab Perdana, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Hj. Abdul Gafar Yahya, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai MBAS.
Menurut YB Dzowahir, elemen pendigitalan turut diberi perhatian menerusi penggunaan sistem bersepadu bagi memperkemas pengurusan tiket, operasi dan pergerakan penumpang.
“Dan juga kita lihat sekarang ini dengan pembangunan teknologi dan sebagainya, Terminal Shahab Perdana juga dinaik taraf dengan menggunakan teknologi terkini menerusi penggunaan Centralised Ticketing System (CTS) dan Terminal Operation System (TOS) bagi menyelaras operasi serta aliran penumpang,” katanya.
Katanya, sistem pembelian tiket secara digital disediakan seiring perkembangan teknologi, namun kaunter manual terus dikekalkan bagi memberi pilihan kepada pengguna yang kurang menggunakan aplikasi.
“Kita boleh beli tiket secara digital dan kita sediakan juga kaunter tiket manual untuk kemudahan pengguna-pengguna yang tak berapa hendak pakai aplikasi semua ini. Jadi, kita kena pastikan kedua-dua kemudahan ini ada untuk memenuhi keperluan semua pengguna,” katanya.
Dzowahir berkata, pelaksanaan fasa kedua yang kini hampir lengkap itu berjalan mengikut perancangan dan dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun.
“Alhamdulillah kita dapat lihat daripada segi pengembangan progres kerja-kerja yang dijalankan sekarang ini dah 95% bagi fasa 2. Kita bermula pada tahun 2025 dan insyaAllah dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, transformasi berkenaan turut menyokong hasrat menjadikan TSP sebagai mercu tanda baharu Alor Setar dan tarikan kepada pelancong.
“Alhamdulillah kita nak jadikan Terminal Shahab Perdana ini sebagai mercu tanda Bandaraya Alor Setar dan tempat tarikan pelancong.
Alhamdulillah sekarang ini progres sedang jalan dengan baik dan mungkin ada sikit sebanyak lagi perbaikan perlu dilakukan untuk membuat kemudahan yang lebih selesa kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan warga bandar raya berkaitan usaha menambah baik kemudahan awam.
“Orang ramai boleh menyalurkan pandangan menerusi saluran media sosial rasmi MBAS supaya setiap cadangan dapat diberikan perhatian melalui saluran yang betul,” katanya.
Terminal berwajah baharu ini bakal menawarkan pelbagai kemudahan yang dinaik taraf, termasuk ruang-ruang niaga, sebuah dewan utama yang lebih besar di kawasan ruang legar (concourse area) yang lebih selesa untuk para pengguna. Selain itu, pihak operator turut menyediakan hotel bajet berkapasiti 20 bilik yang diuruskan secara sistematik menggunakan sistem tempahan pintar sepenuhnya melalui aplikasi dan mesin layan diri.
Bagi memastikan kesejahteraan semua pihak, infrastruktur terminal ini juga dibangunkan dengan ciri mesra OKU seperti penyediaan tandas OKU dan tanjakan (ramp) mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
Akses utama bagi kesemua pelanggan hanya melalui pintu hadapan sahaja, termasuk bagi golongan OKU. Sehubungan itu, tanjakan (ramp) khas telah dibina di ruang pintu masuk hadapan bagi memudahkan golongan OKU mendapat akses terus ke terminal bas. Langkah memusatkan akses di pintu hadapan ini secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada ruang-ruang niaga yang ada di situ untuk menjadi daya tarikan utama kepada para pengguna.
