




3 Oktober 2026 – PUSPANITA Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menganjurkan Program Ceramah “Saya Dah Baligh! – Kenali Diri, Fahami Amanah” bertempat di perkarangan lobi MPKK.
Ucapan aluan oleh YBhg. Datin Azlina binti Md. Zuki, Pengerusi PUSPANITA MPKK, menzahirkan penghargaan atas penyertaan para peserta serta menekankan kepentingan memberikan pendedahan dan bimbingan yang bersesuaian kepada anak-anak dalam menghadapi fasa peralihan memasuki alam baligh.
Ceramah telah disampaikan oleh Ustazah Iwana Aisyah Ab Halim, Pengasas Titian Gemilang, yang berkongsi ilmu serta panduan berkaitan proses menuju alam baligh dengan pendekatan yang santai, mudah difahami dan bersesuaian dengan peringkat umur peserta.
Turut hadir ialah Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim, Ahli-Ahli Majlis Wanita MPKK, Ahli Jawatankuasa PUSPANITA MPKK serta para ibu bersama anak-anak yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia kanak-kanak dan remaja.
Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif PUSPANITA MPKK dalam memberikan pendedahan awal kepada anak-anak mengenai perubahan fizikal dan emosi, pembentukan jati diri serta tanggungjawab yang perlu difahami apabila memasuki alam baligh. Pada masa yang sama, program ini turut memberi ruang kepada para ibu untuk mendapatkan panduan dalam mendampingi dan membimbing anak-anak melalui fasa perkembangan tersebut.
Program seumpama ini diharapkan dapat membantu mewujudkan komunikasi yang lebih terbuka dan positif antara ibu bapa dan anak-anak, di samping meningkatkan keyakinan anak-anak untuk memahami perubahan diri serta menjalani proses menuju kedewasaan dengan ilmu, kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Semoga segala ilmu dan panduan yang dikongsikan melalui program ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta serta menjadi bekalan dalam membentuk keluarga yang lebih harmoni dan sejahtera.