




7 Oktober 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah bersama-sama menjayakan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Peringkat Daerah Kulim dan Daerah Bandar Baharu Tahun 2026 yang dianjurkan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim dan Bandar Baharu dengan kerjasama jabatan serta agensi berkaitan.
Majlis Perasmian dan Penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Kulim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim.
Hadir mewakili YBhg. Dato’ Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim ialah Tuan Haji Zaidi bin Zainun, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKK.
Turut hadir ialah Puan Noor Shaadah, Pegawai Daerah Bandar Baharu, ketua-ketua jabatan dan agensi di peringkat Daerah Kulim dan Bandar Baharu, Ahli-Ahli Majlis MPKK, para Penghulu Mukim Daerah Kulim dan Bandar Baharu, pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim dan Bandar Baharu, warga kerja MPKK serta para sukarelawan JKM yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Program ini merupakan platform penting dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan keupayaan pelbagai agensi dalam menghadapi situasi bencana, khususnya berkaitan pengoperasian dan pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Melalui pelaksanaan latih amal dan simulasi ini, semua pihak berpeluang menguji keberkesanan prosedur operasi, memperkemas penyelarasan antara agensi serta meningkatkan kecekapan dalam aspek pengurusan, keselamatan dan kebajikan mangsa bencana.
Sebagai rakan kerjasama strategik dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, penglibatan MPKK mencerminkan komitmen berterusan Majlis dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta memastikan penyelarasan tindakan dapat dilaksanakan secara cekap, tersusun dan bersepadu demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti, khususnya di Daerah Kulim.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan, komuniti dan sukarelawan amat penting bagi memastikan setiap tindakan menghadapi bencana dapat digerakkan secara pantas, terancang dan berkesan.