12 Oktober 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menganjurkan Program Hari Sukan Negara Peringkat Majlis Perbandaran Kulim Tahun 2026 bertempat di Dewan Bandaran Kulim dengan kerjasama strategik Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kulim Bandar Baharu. Penganjuran program ini turut mendapat pengiktirafan sebagai salah satu aktiviti yang disenaraikan dalam kalendar rasmi Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Kulim.

Berteraskan tema “Sukan Menyatukan Kita Semua”, program ini telah menghimpunkan seramai 200 orang peserta termasuk YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK; Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK; barisan Ahli-Ahli Majlis serta warga kerja MPKK bagi menyemarakkan budaya hidup aktif di samping memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam organisasi.

Membawakan konsep “Nostalgia Nenek Moyang”, penganjuran kali ini mengetengahkan empat (4) acara sukan rakyat dan permainan tradisional, iaitu Dam Aji, Batu Selambut, Tudung Menet dan Karrom. Pemilihan acara ini bertujuan menghidupkan kembali permainan warisan yang menjadi sebahagian daripada khazanah budaya masyarakat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MPKK dalam membudayakan amalan gaya hidup sihat, memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan warga kerja serta memartabatkan permainan tradisional sebagai warisan yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang.

MPKK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kulim Bandar Baharu serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan sambutan ini.

Semoga penganjuran program seumpama ini terus menjadi pemangkin kepada pembentukan warga kerja MPKK yang sihat, produktif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang aktif dan sejahtera.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim#HariSukanNegara

Skip to content