SESI LIBAT URUS MILA, RKB PERKUKUH PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN MBAS

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 11 Oktober 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) terus memperkukuh usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan awam menerusi pelaksanaan inisiatif MBAS Instant License Approval (MILA) bagi mempercepatkan proses kelulusan lesen perniagaan serta memudahkan urusan peniaga.
 
Inisiatif itu diketengahkan menerusi Sesi Libat Urus (SLU) MILA dan Pendedahan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) anjuran Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS yang berlangsung di Dewan UTC Kedah, di sini, hari ini.
 
Program berkenaan menjadi platform perkongsian maklumat dan penyelarasan kefahaman antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan serta persatuan peniaga bagi menyokong pelaksanaan reformasi penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam urusan pelesenan.
 
Program telah disempurnakan Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya. Hadir sama Pegawai Daerah Kota Setar, Tuan Azmin Zainol Abidin; Pegawai Daerah Pokok Sena, Tuan Mohammad Hasbullah Abd. Hadi dan Tuan Setiausaha MBAS, Mohamad Shahuri Mohamad Norlin.
 
Antara pengisian utama ialah sesi pendedahan Reformasi Karenah Birokrasi sektor awam oleh Pengurus Kanan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Encik Mohd Khairil Anuar Amir Hamzah, serta perkongsian mengenai projek dan inisiatif RKB Negeri Kedah oleh Encik Amrul Hidayat Shahbudin. Peserta turut mengikuti pembentangan pelaksanaan MILA oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran MBAS, Ts. Mohd Fairul Hisyam Mazlan, bersama Pasukan RKB MILA.
 
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses kelulusan lesen dan mengurangkan kerenah birokrasi, dengan keperluan dokumen serta pematuhan terhadap syarat dan peraturan pelesenan yang berkuat kuasa terus diberi perhatian.
 
Program turut merangkumi sesi soal jawab interaktif bagi membolehkan peserta mendapatkan penjelasan, bertukar pandangan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan. Peserta juga dibawa melawat tapak pameran MILA dan NADI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif yang diperkenalkan.
 
Pelaksanaan sesi libat urus itu mencerminkan komitmen MBAS untuk membudayakan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berorientasikan pelanggan, di samping memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan serta komuniti peniaga.
 
Menerusi MILA, MBAS berharap urusan pelesenan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan teratur, sekali gus menyokong persekitaran perniagaan yang patuh peraturan serta berdaya saing.
 
Skip to content